fas fa-globe-asia

Our Address

14-2, Jln 3/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur

fas fa-envelope

Email

fas fa-phone-alt

Office No.

+603 4141 8982

fas fa-headphones-alt

Helpline & Support

+60 18 468 4380

BUAT PERBANDINGAN AGAR LEBIH MENGHARGAI

Dakwah Article | Lim Jooi Soon | 01 December 2025

Image

Akidah adalah perkara paling asas dalam agama Islam. Ibaratnya jika membina sebuah bangunan, asasnya adalah perkara utama yang perlu dibina dahulu, dan biasanya ia mengambil masa yang lebih panjang. Semakin kuat asasnya, semakin tinggi bangunan yang boleh dibina.

Jika kita lihat umat Islam hari ini, seberapa kuatkah asas akidah yang dibina? Kita jarang memberi fokus kepada pembinaan perkara asas ini, sebaliknya perkara-perkara lain. Contoh yang dapat kita lihat adalah ketika arkitek ingin membina bangunan dengan mementingkan dinding, siling, hiasan dalaman dan lain-lain tanpa memberi perhatian kepada asas bangunan yang jauh lebih penting. Begitu juga dengan umat Islam, jika kita tidak menekankan aspek akidah, sebaliknya lebih mengutamakan hal lain seperti fikah atau hukum sahaja, maka kita bakal berhadapan dengan masalah.

Seperti bangunan yang tidak dibina dengan asas yang kukuh, ia boleh runtuh pada bila-bila masa. Kita pernah mendengar cerita mengenai pelajar lepasan sekolah agama yang mana setelah tamat sekolah dia keluar dari agama. Ini tidak menghairankan kerana secara umumnya di negara ini, Islam diajar untuk memberi tumpuan lebih kepada fikah, dan bukannya akidah.

Jika kita membincangkan soal akidah, kita tidak akan bergaduh atau berbeza pendapat. Sebaliknya, perselisihan, perbezaan pandangan, pergaduhan, muncul apabila membabitkan hukum fikah.

Perbandingan & penghargaan

Selain akidah, perkara yang menyebabkan orang Islam kurang menghargai Islam ialah kerana mereka kurang dididik untuk membandingkan agama Islam  dengan agama lain. Ini membuat umat Islam sukar menghargai agama mereka. 

Contohnya, jika ada dua lelaki berusia 40 tahun dan kedua-dua mereka adalah jutawan; yang pertama berjaya atas usaha gigihnya berniaga, manakala yang kedua menjadi jutawan kerana mewarisi harta bapanya. Di antara kedua-duanya, siapakah yang rasanya lebih menghargai hartanya? Tentu yang pertama. Mengapa? Kerana dia berusaha, mengkaji dan mencari. Yang kedua pula kurang menghargai kerana dia mewarisi harta tersebut. Begitu juga dengan agama Islam, jika kita sekadar mewarisi Islam daripada ibu dan bapa tanpa berusaha mengkaji dan mencari, kita akan kurang menghargai. Umat Islam yang sekadar mewarisi Islam hanya akan mengenali agama dalam bentuk solat, puasa, maulidur rasul dan sebagainya. Mereka tidak mengenali Allah, dan tidak tahu bagaimana untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Satu contoh lagi, seorang ‘tauke’ kaya memandu kereta mewah menghantar anak-anaknya ke sekolah, bercuti dan membeli-belah dengan kereta yang hebat itu. Persoalan saya, adakah anak-anak ‘tauke’ yang menaiki kereta mewah itu setiap hari rasa bersyukur? Besar kemungkinan mereka tidak merasa apa-apa, malah menganggapnya biasa saja.

Bayangkan jika kereta mewah itu rosak seminggu, dan tauke terpaksa menggunakan kereta mekanik yang buruk. Apabila anak-anak tauke itu menaiki kereta buruk, mereka bersungut kerana tidak selesa. Setelah kereta mewah diperbaiki dan mereka dapat menaikinya semula, apakah perasaan mereka sama seperti dahulu? Tentu tidak. Mereka akan lebih menghargai kereta mewah itu berbanding sebelum ini.

Jadi, jika boleh membuat perbandingan, kita akan lebih menghargai. Dalam kehidupan harian, kita membandingkan banyak benda dan perkara, tetapi apabila sampai bab agama, kita dilarang berbuat demikian. Kita dinasihatkan supaya tidak membuat perbandingan, terima sahaja apa yang guru agama kata, jangan menyoal dan sebagainya.

Tetapi dalam al-Quran kita disuruh memeriksa dan meneliti sesuatu berita yang kita dengar. Tetapi hari ini apabila guru agama mengajar, adakah kita berbuat demikian? Adakah kita bertanya mengenai bukti dalil dan nas dalam ajaran mereka?

Benarkah kenyataan yang mana murid tidak boleh bertanya soalan semasa proses pembelajaran agama? Di dalam al-Quran ada diceritakan Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah s.w.t bagaimana Dia menghidupkan mereka yang mati. Malaikat juga bertanya kepada Allah s.w.t mengapa Dia meletakkan manusia sedangkan mereka pasti membuat kebinasaan di muka bumi? Tetapi Allah s.w.t menjawab, "Aku tahu apa yang kamu tidak tahu."

Rasulullah s.a.w apabila berkata-kata kepada para sahabat, ada yang bertanya, adakah ia wahyu atau daripada Baginda sendiri? Kadang-kadang Baginda berkata adalah pandangannya sendiri, dan mereka pula boleh memberi pandangan yang lain. Ini menunjukkan kita boleh bertanya, tetapi budaya bertanya untuk mengkaji dan menyiasat ini tidak diamalkan di negara ini. Kita sekadar mendengar atau belajar Islam secara lisan. Jika kita belajar cara begini, kita akan belajar perkara yang betul dan juga tidak betul. Lebih teruk, jika belajar yang tidak betul, kita tidak boleh membuat teguran.

Kaji kitab lain

Mesej saya ialah, kalau tidak kaji, maka susah untuk kita menghargai. Maka apakah kita tidak boleh mengkaji kitab-kitab agama lain? Jika boleh, maka apakah dalilnya?

Mari kita lihat ayat 64 surah Ali Imran,

"Katakanlah, “Hai ahli kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain daripada Allah…’.”

Apakah cara yang kita gunakan untuk mencari 'persamaan' yang disebut oleh Allah s.w.t itu jika tidak mengkaji kitab-kitab tersebut? Allah menyuruh kita mencari persamaan supaya tidak ada perselisihan faham. Persamaan inilah sebenarnya menjadi ‘master key’ dalam dakwah. Bayangkan kita berdialog dengan orang bukan islam untuk mencari beberapa persamaan sahaja antara kitab yang mereka percaya dengan al-Quran. Jika kita dapat mencari 20 persamaan, maka mereka juga telah memahami 20 perkara di dalam al-Quran. Lebih banyak persamaan yang ditemui, lebih mudah kita boleh berdakwah kepada mereka.

Di dalam surah Nahl: 125 pula Allah s.w.t berfirman,

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik...." Perintah untuk menyeru, berhujah atau berdialog ini tidak dapat kita laksanakan jika kita tidak faham kitab mereka. Maka kita perlu kaji kitab-kitab itu.

Nabi s.a.w Tokoh Terhebat Perbandingan Agama

Ahmad Deedat adalah salah seorang tokoh perbandingan agama di zaman moden ini, tetapi tokoh terhebat dalam bidang ini adalah Nabi Muhammad s.a.w. Perbandingan agama adalah sunnah Baginda. Rasulullah s.a.w pernah diziarahi oleh 60 perwakilan dari Najran, majoriti mereka adalah paderi Kristian dan diketuai oleh dua orang ‘bishop’. Mereka datang setelah terdengar khabar bahawa di negara Arab muncul seorang Nabi dan ingin memastikan kebenarannya.

Rasulullah s.a.w telah menjemput mereka ke Masjid Nabawi dan berdialog dengan mereka selama tiga hari dua malam. Baginda telah menjemput mereka untuk memeluk Islam, tetapi mereka menjawab, mereka telah lama Islam. Maka Baginda menjawab “Kamu semua berdusta”. Alasan Baginda ialah kerana mereka mengatakan Allah mempunyai anak dan memakan khinzir sedangkan dalam kitab Injil melarangnya.

Mereka bertanya kepada Baginda s.a.w, jika Isa bukan anak Allah, maka siapa bapanya? Jawapan Baginda adalah dalam bentuk soalan yang sungguh hebat, "Adakah kamu semua mengetahui anak mesti menyerupai bapanya?" Jawab mereka "Ya," Baginda bertanya lagi. "Adakah kamu semua setuju Tuhan kita hidup, sama sekali tidak mati?" Mereka juga bersetuju. Tetapi mereka percaya bahawa Nabi Isa a.s mati disalib, sedangkan jika baginda menyerupai bapanya, tentulah baginda tidak mati.

Maka ahli rombongan itu terdiam. Mereka juga meminta Baginda memberi nama seorang insan yang dilahirkan tanpa seorang bapa. Ketika itu, turunlah wahyu (Ali Imran: 59) kerana mereka menyatakan,

 "Sesungguhnya misal (penciptaan Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya, ‘Jadilah’ (seorang manusia), maka jadilah dia.”

Setelah mendengar hujah-hujah Nabi s.a.w, akhirnya ramai daripada kumpulan itu memeluk Islam. Itulah bukti keberkesanan perbandingan agama yang dibuat oleh Nabi s.a.w. Sayangnya, ilmu perbandingan agama pada hari ini kurang diberikan perhatian dalam kalangan umat Islam di negara ini. Jika kita mahir dalam bidang ini, apabila orang bukan Islam bertanya soalan, kita tahu bagaimana untuk membidas dan memberikan hujah. Begitu juga, jika ada orang yang mahu keluar dari agama Islam, kita boleh meyakinkan hujah yang kita ada.

Tanpa ilmu perbandingan agama, kita tidak dapat berdakwah walaupun peluang terbuka luas tanpa kita sedar.

See other articles

Dakwah Article | 01 August 2025 | Team IDT

Bolehkah Bukan Islam Sentuh Dan Baca Al-Quran?

Dakwah Article | 22 July 2025 | Lim Jooi Soon

Tiada Kelebihan Lahir Dalam Keluarga Islam & Bukan Islam

Dakwah Article | 19 July 2025 | Team IDT

Menjawab Persoalan Maksum Nabi s.a.w