By Team IDT on Thursday, 22 June 2023
Category: Articles

Bolehkah Bukan Islam Sentuh Dan Baca Al-Quran?

Dalam agama Islam, bagi setiap pengharaman perlu ada nas yang jelas, sama ada nas tersebut dipetik daripada ayat al-Quran atau sunnah Nabi s.a.w untuk membuktikan larangan sesuatu perkara.

Begitu juga dalam soal menjawab persoalan yang berkaitan dengan sama ada orang bukan Islam boleh menyentuh dan membaca al-Quran. Terdapat dua pandangan yang dikemukakan di kalangan para ulama dalam menguraikan sama ada mushaf al-Quran dalam bahasa Arab boleh disentuh oleh orang bukan Islam.

Pendapat pertama ialah, ada diantara para ulama yang melarang(mengharamkan) orang bukan Islam untuk menyentuh mushaf al-Quran. Mereka berpandangan demikian berdasarkan dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran.

Surah At-Taubah: 28; "Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik adalah najis..." Dengan ini, sebahagian ulama berpendapat bahawa orang musyrik itu tidak boleh menyentuh al-Quran kerana mereka dianggap najis.

Bagaimanapun, dalam Tafsir Fi Zhilalil Quran (Sayyid Qutb) jilid 5 m/s 314-315 dinyatakan hakikatnya pernyataan ayat itu tidak menggambarkan maksud 'najis' itu secara zahir atau fizikal mereka, melainkan merujuk kepada jiwa mereka yang tidak berpegang kepada ajaran Islam.

Al-Waqiah: 77-79; "Sesungguhnya al-Quran adalah bacaan yang sangat mulia, dalam kitab yang terpelihara (Lauhul Mahfuzh), tidak yang menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan." Sekali lagi, sesetengah ulama berpegang kepada hujan ini dan menegaskan bahawa orang-orang bukan Islam yang tidak suci itu tidak boleh menyentuh al Quran.

Sungguhpun begitu di dalam Tafsir Fi Zhilalil Quran (Sayyid Qutb) jilid 11 m/s 147, dinyatakan ayat berkenaan sebenarnya untuk menerangkan kepada kaum Musyrikin yang mendakwa pada masa itu, bahawa al-Quran itu diturunkan oleh syaitan. Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya al-Quran (Lauhul Mahfuzh) itu tidak mungkin disentuh oleh syaitan kerana ianya disimpan dalam ilmu dan pemeliharaan Allah, dan hanya diturunkan kepada malaikat yang bersifat suci.

Kisah mengenai Sayidina Umar yang dipaksa oleh adiknya untuk membasuh tangan sebelum beliau menyentuh al-Quran. Kisah ini dijadikan dalil bagi sesetengah pihak untuk melarang orang bukan Islam daripada menyentuh al-Quran atas alasan mereka tidak suci. Perkara ini sebenarnya tidak boleh digunakan sebagai hujjah, dengan mencuci tangan tidak akan menyucikan jiwa mahupun fizikal orang bukan Islam itu. Apatah lagi ini hanya kata-kata adik Saidina Umar, dan bukan daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Pendapat kedua pula, ada diantara para ulama yang mengharuskan orang bukan Islam untuk menyentuh mushaf al-Quran. Golongan ulama yang mengharuskan orang bukan Islam memegang dan membaca al-Quran membuat keputusan itu berdasarkan hujjah dan dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran.

Surah AN-NISA': 82: "Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya."

Persoalan di sini al-Quran sebenarnya diturunkan kepada seluruh umat Manusia atau hanya kepada umat Islam. Di dalam surah al-Kahfi: 54, Allah s.w.t berfirman; "Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam al-Quran ini untuk umat manusia, daripada segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya."

Begitu juga dalam surah Ibrahim: 1; "Alif, Laam, Raa. Ini adalah kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji."

Dalam al-Quran, ada banyak ayat di mana Allah s.w.t mencabar bukan Islam supaya menulis kitab lain yang setanding dengan al-Quran sekiranya mereka mampu. Contohnya, di dalam surah al-Baqarah: 23; "Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."

Dalam surah Huud: 13; "Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: 'la (Muhammad) yang mereka-reka al-Quran itu!' Katakanlah (wahai Muhammad): (Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."

Surah Yunus: 38; "(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: 'Dialah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Quran menurut rekaannya.' Katakanlah (wahai Muhammad): 'Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain daripada Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!"."

An-Nisaa: 82: "Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya." Bagaimana orang bukan Islam akan menyahut cabaran-cabaran ini jika mereka tidak boleh mengakses kandungan al-Quran?

Persoalan seterusnya ialah mengenai orang Arab yang bukan Islam, yang hanya mengetahui bahasa Arab saja. Sekiranya mereka ingin membaca al-Quran, apakah jenis al-Quran yang kita harus beri? Bahasa Melayu, Cina, Inggeris atau Arab? Tentunya al-Quran dalam bahasa Arab!

Mari kita renung-renungkan. Rasulullah s.a.w dan para sahabat bertungkus-lumus untuk menyebarkan mesej al-Quran supaya semua umat manusia diberi peluang untuk mengenali ajaran Islam. Namun sebaliknya pada hari ini, ada sesetengah pihak yang mengambil sikap kononnya 'memelihara kesucian' al-Quran dengan mengharamkan orang bukan Islam menyentuh dan membaca mushaf al-Quran.

Sebenarnya kita tidak perlu risau tentang kesucian al-Quran itu kerana Allah telah berjanji bahawa "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." (Al-Hijr: 9)

Ada juga ulama yang berpendapat dengan menyatakan bahawa orang bukan Islam hanya boleh menyentuh kitab terjemahan al-Quran dan bukan mushaf yang berbahasa Arab.

Saya ingin mengutarakan persoalan: Semasa hidupnya Rasulullah s.a.w sering kali menulis surat kepada ketua-ketua pemerintah bukan Islam. Surat-surat tersebut mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang sudah tentunya di dalam bahasa Arab. Tujuan Baginda ialah untuk menjemput mereka memeluk agama Islam. Antara raja yang pernah Baginda utuskan surat adalah Heraclius.

Sekiranya pemimpin-pemimpin bukan Islam dahulu boleh memegang dan membaca surat yang mengandungi al-Quran, mengapa mereka tidak boleh memegang keseluruhan mushaf al-Quran? 

Leave Comments