By Mustafar Bin Mohd Suki on Thursday, 06 July 2023
Category: Fiqh

KAEDAH MELUPUSKAN HARTA YANG HARAM

Mencari harta yang halal merupakan kewajipan seorang muslim. Ia merupakan suatu kefardhuan oleh setiap individu muslim. Allah SWT menghalal sesuatu yang baik lagi berkualiti.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, makanlah yang baik-baik dari apa yang Kami rezekikan kepada kalian dan bersyukurlah kepada Allah jika kalian hanya beribadah kepadaNya (al-Baqarah :172)

Daripada Abu Hurairah semoga Allah meredhainya beliau berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا

Rasulullah SAW bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah adalah baik dan tidaklah menerima kecuali yang baik.(HR Muslim)

MAKSUD HARTA YANG HARAM

Imam al-Ghazalli mentakrifkan maksud harta yang haram adalah : harta yang diperolehi daripada pekerjaan yang haram seperti riba, rasuah, judi dan (ihtikar) monopoli

Dr Muhammad Naim Yasin menyatakan : Setiap harta yang diharamkan syara' maka haram mengambil manfaat darinya dari sudut manapun

Dr Muhammad Sulaiman al-Asyqar pula menambah : segala harta yang tidak halal dimanfaatkan dengannya samaada wujudnya Nas yang sahih dan jelas mengharamkan atau larangan memakannya atau dikenakan hukuman jika memakannya

Maka setiap harta yang diharamkan oleh Syara' memilikinya atau memanfaatkannya maka ia adalah harta yang haram.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat itu menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti berikut:

i. Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah);

ii. Perjudian dan pertaruhan;

iii. Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;

iv. Insurans konvensional;

v. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah;

vi. Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan;

vii. Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan

viii. Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syariah.

KATEGORI HARTA HARAM DAN KAEDAH MELUPUSKAN

Ulama Usul membahagikan haram kepada dua jenis :

i.Haram Lizatihi

Harta yang haram dari segi asal dan sifatnya iaitu apa yang diharamkan syara disebabkan asal ia sendiri haram,tidak memberi manfaat dalam keadaan apapun, yang mengandungi di dalamnya segala mudarat atau kekotoran mahupun keburukan seperti arak, khinzir, bangkai, darah dan segala sesuatu yang najis dan kotor yang memberi kerosakan kepada manusia

Mereka yang terlibat dengan perkara ini mestilah bertaubat nasuha dan harta yang haram lalu dilupuskan dengan kaedah berikut :

a. Disalurkan untuk kepentingan umat Islam secara umum, tidak dikhususkan kepada orang dan tempat tertentu ini merupakan pendapat sebahagian ulama Mazhab Hanbali

b. Disalurkan sebagai sedekah sunnah secara umum, mencakup hal yang terdapat maslahat, pemberian kepada fakir miskin atau untuk pembangunan masjid. Ini adalah pendapat Hanafiyah, Syafiiyyah

c. Disalurkan kepada maslahat umat Islam dan fakir miskin selain untuk masjid. Demikian pendapat Fatwa ulama Lajnah Ad Daimah Kerajaan Arab Saudi.

d. Disalurkan untuk tujuan fii sabilillah, yaitu untuk jihad di jalan Allah yang disandarkan kpada pendapat sebahgian ulama mazhab hanbali

Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya: "Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan…(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan.."

ii.Haram Lighairih

Harta yang haram dari segi sifat mendapatkannya bukan pada asalnya. Sebahagian fuqaha menamakan Haram Bisababihi( Haram dengan sebab lain) atau Haram likasbihi( haram kerana cara memperolehinya)

Ia adalah seperti memperolehi harta dengan cara mencuri, rasuah, merampas hak orang lain, Ihtikar (monopoli), menipu dan khianat

Harta dibersihkan dengan dipulangkan semula kepada pemiliknya

Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata, :

"Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak ditemui (pemilik asalnya), hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya(harta yang haram) dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu)

Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

"Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah- maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal".
Leave Comments