ABSTRACT
Cuba tanyakan pada diri sendiri, adakah berdakwah wajib atau tidak? Apakah tuntutan berdakwah fardu ain atau fardu kifayah? Jawapannya, dakwah ialah fardu kifayah tetapi boleh bertukar menjadi fardu ain untuk berdakwah kepada orang yang rapat. Misalnya, selagi tidak ada orang berdakwah kepada keluarga terdekat maka ia akan menjadi fardu ain kepada kita. Namun, jika ada orang lain telah berdakwah kepadanya dan kita hanya membuat susulan, maka ia menjadi fardu kifayah pula.
PENDAHULUAN
Alasan klasik untuk tidak berdakwah ialah tidak ada masa. Bagi saya, orang yang layak memberi alasan sebegitu rupa hanyalah mereka yang telah meninggal dunia kerana telah terputus daripada urusan duniawi iaitu sudah berada di luar ruang dan masa. Sesetengah berpendapat bahawa perlu berdakwah kepada orang Islam terlebih dahulu sebab masih ramai orang Islam yang tidak cukup ilmu agama. Alasan lain untuk tidak berdakwah ialah tidak cukup ilmu dan takut. Satu lagi alasan yang selalu kita dengar ialah diri sendiri pun masih banyak kekurangan dan berdosa, bagaimana hendak berdakwah secara hikmah.
Islah Atau Dakwah?
Dalam Bahasa Arab, dakwah bermaksud menyeru, mengajak atau menjemput. Tetapi dalam Islam, dakwah bermakna satu perjuangan dalam menyebarkan mesej Islam. Dalam erti kata lain, dakwah yang sebenar - benarnya ialah menyampaikan risalah Islam kepada orang yang belum Islam sambil mempengaruhi mereka untuk memeluk agama Islam. Itulah definisi dakwah secara literalnya tetapi bagi aktiviti yang diadakan khusus sesama Muslim, saya lebih suka menginterpretasikannya islah. Islah secara istilah Islami bermaksud memperbaiki, memperbetulkan, meningkatkan ilmu pengetahuan sesama umat Islam.
Mengapa Saya Asingkan Islah dengan Dakwah?
Tujuan utamanya ialah supaya kita dapat menilai diri sendiri, sejauh manakah aktiviti dakwah dan islah yang telah kita terlibat atau lakukan untuk ummah? Kedua - dua istilah ini untuk perbincangan ilmiah sahaja, namun tidak salah penggunaan perkataan dakwah Islam dan bukan Islam, atau dakwah dalaman dan luaran. Apa yang penting ialah melaksanakan kerja - kerja tersebut.
Aktiviti - aktiviti yang dianjurkan oleh Muslim di Malaysia majoritinya ialah berbentuk islah. Tetapi kebiasanya mereka menggunakan perkataan dakwah. Maksud islah ialah kita memperbaiki, menyeru dan membantu mereka dengan mempertingkatkan ilmu umat Islam. Perkara sebegini biasa kita terlibat tetapi berdakwah kepada orang bukan Islam masih amat kurang.
Jika kita bandingkan amalan Rasulullah, baginda melakukan kerja dakwah dan islah seiring apabila berjumpa dengan orang Islam mahu pun bukan Islam. Persoalannya adakah kita juga bergerak seiring dengan amalan Rasulullah? Setelah mengasingkan islah dan dakwah, barulah jelas bahawa di Malaysia kita telah lalai dalam tanggungjawab melakukan dakwah.
Apakah Alasan Kita Tidak Melakukan Dakwah?
Sesetengah pihak berpendapat bahawa perlu berdakwah kepada orang Islam terlebih dahulu sebabnya ialah masih ramai orang Islam yang tidak cukup ilmu agama. Malah ada yang lantang menyuarakan adalah lebih baik menyelamatkan seorang Islam yang telah terpesong akidah untuk kembali ke jalan yang benar berbanding membawa 100 orang bukan Islam untuk masuk Islam.
Logik golongan tersebut ialah orang Islam lebih penting berbanding orang yang belum lagi Islam. Namun, hal ini tidak selari dengan amalan Rasulullah yang melakukan kedua - keduanya. Sejarah membuktikan bahawa Baginda Rasulullah tidak pernah sekali pun menyeru agar mendahulukan islah kepada orang Islam sedangkan pada zaman itu terdapat segelintir Muslim yang tidak memenuhi tuntutan agama, malah sesetengahnya telah munafik. Rasulullah tidak pula menangguhkan dakwah kepada bukan Islam dalam usaha memperbetulkan orang Islam terlebih dahulu (Al - Mudatsir : 1 - 2).
Ada juga yang menyatakan orang Islam lebih penting, tetapi bagi saya orang Islam 'kurang penting' kerana dakwah lebih penting daripada islah. Contohnya, ada dua orang terlibat dalam kemalangan, seorang tidak sedarkan diri dan seorang lagi mengerang kesakitan. Yang mana satukah perlu kita selamatkan dulu? Tentulah yang tidak sedarkan diri dulu kerana keadaannya jauh lebih teruk. Pada pendapat saya, orang Islam sudah ada hidayah walaupun dia kurang beribadah, sebaliknya orang bukan Islam lansung belum mendapat hidayah lagi. Jadi siapakah yang terlebih dahulu perlu dibantu?
Alasan lain untuk tidak berdakwah ialah tidak cukup ilmu dan takut. Lazimnya, kita berasa takut kerana belum mempunyai ilmu yang mencukupi atau teknik berdakwah yang berkesan. Berdasarkan Hadis Sahih Bukhari, "Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat." Masalah kita ialah selalu membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih tinggi ilmunya. Masalah sebenar bukanlah rendah ilmu tetapi rendah diri. Sebenarnya, jika kita tahu sedikit dan sampaikan yang sedikit itu kepada orang lain maka kita beruntung kerana hidayah milik Allah dan tanggungjawab kita telah selesai. Tetapi bagi yang tinggi ilmunya, dia juga perlu menyampaikan segala ilmu yang dia ada, dan ini bukanlah satu kerja mudah.
Jika kita keluar menyampaikan ilmu, secara tidak lansung kita juga sedang menambah ilmu pengetahuan. Setelah menyampaikan ilmu walaupun sedikit dan apabila ada orang bertanya soalan yang anda tidak tahu jawapannya. Katakan, "Saudara, saya amat gembira mengenali kamu. Soalan kamu amat bagus, disebabkan itu saya tidak pernah terfikir. Saya perlu balik bertanya kepada guru saya untuk memastikan saya memberi jawapan yang lebih tepat kepada kamu. Boleh saya beri jawapan esok?"
Jika kita pulang dan bertanya semula kepada guru, maka ilmu kita juga bertambah! Gunakan taktik yang sama untuk terus berdakwah dan menambah ilmu tetapi gunakanlah ayat yang lain. Sungguhpun begitu jangan sesekali 'goreng' dalam menjawab soalan yang anda sendiri tidak tahu jawapannya. Alasan ini sama seperti memberi alasan, tunggu ada modal besar barulah boleh melabur! Ini tidak akan berlaku, orang lazimnya bermula dari bawah dan berkembang menjadi lebih besar. Satu lagi alasan ialah diri sendiri pun banyak buat dosa lagi, macam mana nak berdakwah?
Sebenarnya, dakwahlah yang boleh membantu kita untuk mengurangkan dosa. Hal ini kerana, apabila berkata dan melakukan perkara baik, secara automatik kita akan berasa ralat untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang kita sering perkatakan. Lagi banyak kita berkata perkara yang baik, lagi bertambah sukar untuk kita melakukan
KESIMPULAN
Justeru, tiada istilah tidak cukup ilmu atau tidak bersedia dalam berdakwah. Ilmu perlu dituntut setiap masa, jika tidak mengetahui sesuatu maka bersegeralah merujuk kepada ahlinya atau lakukan penyelidikan untuk mendapat jawapan yang betul. Seandainya teknik ini sering kali diamalkan, akhirnya ilmu kita akan makin bertambah dan mampu menjawab pelbagai bentuk soalan. Jadi, tidak cukup ilmu bukan lagi alasan untuk tidak melakukan dakwah. Mari sama - sama kita selami kehidupan seorang pendakwah hebat yang bernama Ahmad Deedat, dahulu beliau acap kali ditanya soalan - soalan yang tidak dapat dijawabnya. Oleh yang demikian, beliau mempertingkatkan diri dengan mencari jawapan kepada soalan - soalan yang tidak dapat dijawabnya dengan penuh yakin. Beliau tidak menjadi seorang yang berilmu secara tiba - tiba tetapi secara beransur - ansur berkat dengan usaha yang tidak pernah mengalah dan mudah berputus asa. Jika seseorang yang hebat pun mengambil langkah sebegitu rupa, maka jadikan beliau idola dan ikutilah langkah yang sama.