UMAT ISLAM SEMBAH KAABAH?
Dakwah Article | Lim Jooi Soon | 02 December 2025

Photo by Tasnim Umar on Unsplash
Umat Islam sentiasa mengatakan golongan bukan Islam secara hakiki menyembah patung atau berhala. Sebaliknya pandangan mereka terhadap Islam juga sama, iaitu apabila menunaikan solat dengan beranggapan mereka ‘menyembah Kaabah’.
Jawapan kepada salah faham ini perlu diketahui oleh para dai agar mereka mudah untuk berhujah dan memberi penjelasan dengan baik mengenai agama Islam.
Kenyataan bahawa umat Islam turut menyembah Kaabah pada hakikatnya tidak berasas sama sekali. Tidak wujud fahaman ini di kalangan umat Islam yang menunaikan solat, bahawa mereka menyembah Kaabah. Ini disebabkan salah satu syarat penerimaan solat di sisi Allah s.w.t ialah mengabdikan diri kepada-Nya secara ikhlas dengan menjauhi segala bentuk perbuatan syirik. Dalam konteks ini, umat Islam tidak menyembah Ka'bah tetapi menyembah Tuhan yang memiliki Ka'bah tersebut.
Perkara ini selaras dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini (Kaabah)”
Surah Al-Quraish:3
Ayat ini mengingatkan kita supaya membezakan antara ‘arah’ dan ‘tujuan’. Kaabah dan Masjidil Haram hanyalah arah atau kiblat ketika menunaikan solat, bukan tempat atau objek yang disembah. Hakikatnya, umat Islam tidak pernah dan tidak akan pernah menyembah selain Allah s.w.t.
Profesor Dr. Hamka dalam bukunya Kristenisasi & Sekularisasi mengulas: "Saya menjelaskan bahawa kaum Muslimin di seluruh dunia, apa pun mazhabnya, baik dia seorang Sunni atau Syiah sekalipun, sekali-kali tidak pernah menerima ajaran bahawa kita menyembah, memuja serta beribadat kepada Kaabah. Sekiranya wujud orang Islam menyembah, memuja atau menunaikan solat untuk Kaabah, maka kafirlah ia menurut hukum yang telah ditetapkan di dalam Islam."
Sehubungan ini, mendirikan solat dengan menghadap kiblat hanya dalam rangka ketaatan kepada Allah s.w.t yang memerintahkan manusia melakukan sedemikian.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:
"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah, dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka, dan Allah sekali-kali tidak lalai akan apa yang mereka lakukan.
Allah s.w.t juga berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 149 yang bermaksud "Dan dari mana solat sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat) maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haram (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar daripada Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah sekali-kali tidak lalai akan segala apa yang kamu lakukan."
Sehubungan arah kiblat ini, termaktub dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan Malik daripada Bara' bin 'Azib r.a katanya:
"Pada permulaan kedatangan. Rasulullah s.a.w di Madinah, beliau berhenti di kBaitullahatuk neneknya atau dia berkata, bapa-bapa saudara sebelah ibunya dari orang-orang Ansar dan beliau mendirikan solat menghadap Bait al-Maqdis selama 16 atau 17 bulan, Beliau suka supaya kiblatnya menghadap ke arah Baitullah , dan solat beliau yang pertama menghadap ke Bautullah ialah solat asar diikuti oleh sekumpulan kaum Muslimin.
"Selepas itu seorang daripada mereka yang menunaikan solat bersama beliau keluar dan lalu di sebuah masjid, di mana orang orang yang menunaikan solat sedang rukuk lalu ia berkata kepada mereka: 'Aku bersaksi dengan nama Allah bahawa aku telah mendirikan solat bersama Rasulullah s.a.w menghadap ke arah Kaabah. Mereka pun terus berpusing menghadap ke arah Baitullah."
Ka’bah Simbol kesatuan
Hakikatnya kiblat menghadap ke arah Kaabah dalam solat hanyalah arah yang ditentukan Allah swt sebagai pusat atau simbol ‘kesatuan’. Jika arah solat umat Islam tidak ditentukan, maka akan mudah terjadinya kacau-bilau. Akan ada sebahagian daripada umat islam yang menghadap ke barat, yang menghadap lain ke timur, ke selatan, ke utara, dan sebagainya.
Untuk menyatukan atau menyeragamkan umat dalam beribadah kepada Allah swt, maka di mana sahaja pun umat islam itu berada berada, mereka diwajibkan menghadap ke satu arah yang sama iaitu Kaabah. Dalam konteks ini, terdapat empat hujah konkrit bagi membatalkan tuduhan yang tidak berasas ini.
Sekiranya umat Islam berada dalam suatu tempat yang tidak diketahui arah kiblat, mereka yang tidak tahu diizinkan melakukan solat dengan menghadap ke arah mana sahaja. Pendapat ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 115 yang bermaksud:
"Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.”
See other articles
Dakwah Article | 01 August 2025 | Team IDT
Bolehkah Bukan Islam Sentuh Dan Baca Al-Quran?
Dakwah Article | 22 July 2025 | Lim Jooi Soon
Tiada Kelebihan Lahir Dalam Keluarga Islam & Bukan Islam
Dakwah Article | 19 July 2025 | Team IDT
