TIADA ALASAN UNTUK TIDAK BERDAKWAH
Dakwah Article | Lim Jooi Soon | 04 December 2025

Abstract
Cuba tanyakan pada diri sendiri, adakah berdakwah itu wajib atau tidak? Apakah tuntutan berdakwah fardhu ain atau fardhu kifayah? Jawapannya, dakwah adalah fardhu kifayah tetapi bolehkifayahar menjadi fardhu ain ketika mana berdakwah kepada orang yang rapat. Misalnya, selagi tidak ada orang berdakwah kepada keluarga terdekat maka ia akan menjadi kewajipan kepada kita. Namun, jika ada orang lain telah berdakwah kepadanya dan kita hanya membuat susulan, maka ia menjadi fardu kifayah pula.
Pendahuluan
Alasan lapuk untuk tidak berdakwah ialah tidak ada masa. Bagi saya, orang yang layak memberi alasan sebegitu rupa hanyalah mereka yang telah meninggal dunia kerana telah terputus daripada urusan duniawi iaitu sudah berada di luar ruang dan masa. Sesetengah berpendapat bahawa perlu berdakwah kepada orang Islam terlebih dahulu sebab masih ramai muslim yang tidak cukup ilmu agama. Alasan lain untuk tidak berdakwah ialah tidak cukup ilmu dan takut. Selain daripada itu, alasan yang memang sering kita dengar juga adalah diri sendiri pun masih banyak kekurangan dan berdosa, bagaimana hendak berdakwah secara hikmah.
Islah Atau Dakwah?
Dalam Bahasa Arab, dakwah bermaksud menyeru, mengajak atau menjemput. Tetapi dalam Islam, dakwah bermakna satu perjuangan menmemperbetulkan Islam. Dalam erti kata lain, dakwah yang sebenar - benarnya adalah menyampaikan risalah Islam kepada orang yang belum Islam sambil mempengaruhi mereka untuk memeluk agama Islam. Itulah definisi dakwah secara literalnya tetapi sampaikan mesej islam kepada muslim yang lain, ianya bukan dakwah tetapi dikenali sebagai islah. Islah secara istilah Islami bermaksud memperbaiki, memperbetulkan, meningkatkan ilmu pengetahuan sesama umat Islam.
Mengapa Saya Asingkan Islah dengan Dakwah?
Tujuan utamanya adalah supaya kita dapat menilai diri sendiri, sejauh manakah aktiviti dakwah dan islah yang telah kita terlibat atau lakukan untuk ummah? Setelah mengasingkan islah dan dakwah, barulah jelas bahabahawagunaan perkataan dakwah Islam dan bukan Islam, atau dakwah dalaman dan luaran secara umumnya tidak salah. Apa yang penting adalah melaksanakan tanggungjawab kita tersebut.
Aktiviti - aktiviti yang dianjurkan oleh Muslim di Malaysia majoritinya adalah berbentuk islah. Tetapi biasanya mereka menggunakan perkataan dakwah. Maksud islah ialah kita memperbaiki dan membantu mereka dengan mempertingkatkan ilmu agama Islam. Perkara sebegini biasa kita terlibat tetapi berdakwah kepada orang bukan Islam masih kurang dibiasakan.
Jika kita bandingkan amalan Rasulullah, baginda melakukan kerja dakwah dan islah seiring apabila berjumpa dengan orang Islam mahupun bukan Islam. Persoalannya, adakah kita juga bergerak seiring dengan amalan Rasulullah? Setelah mengasingkan islah dan dakwah, barulah jelas bahawa di Malaysia kita telah lalai dalam tanggung jawab melakukan dakwah.
Apakah Alasan Kita Tidak Melakukan Dakwah?
Sesetengah pihak berpendapat bahawa perlu berdakwah kepada orang Islam terlebih dahulu sebabnya masih ramai orang Islam yang tidak cukup ilmu agama. Malah ada yang lantang menyuarakan adalah lebih baik menyelamatkan seorang Islam yang telah terpesong akidah untuk kembali ke jalan yang benar berbanding membawa 100 orang bukan Islam untuk masuk Islam.
Logik golongan tersebut ialah orang Islam lebih penting berbanding orang yang belum lagi Islam. Namun, hal ini tidak selari dengan amalan Rasulullah yang melakukan kedua - keduanya. Sejarah membuktikan bahawa Baginda Rasulullah tidak pernah sekali pun menyeru agar mendahulukan islah kepada orang Islam sedangkan pada zaman itu terdapat segelintir Muslim yang tidak memenuhi tuntutan agama, malah sebahagiannya telah munafik. Rasulullah tidak pula menangguhkan dakwah kepada bukan Islam dalam usaha memperbetulkan orang Islam terlebih dahulu (Al - Mudatsir : 1 - 2).
Ada juga yang menyatakan orang Islam lebih penting, tetapi bagi saya orang Islam ‘kurang penting’ kerana dakwah lebih penting daripada islah. Contohnya, ada dua orang terlibat dalam kemalangan, seorang tidak sedarkan diri dan seorang lagi mengerang kesakitan. Yang mana satukah perlu kita selamatkan dulu? Tentulah yang tidak sedarkan diri dulu kerana keadaannya jauh lebih teruk. Pada pendapat saya, orang Islam sudah ada hidayah walaupun dia kurang beribadah, sebaliknya orang bukan Islam langsung belum mendapat hidayah lagi. Jadi siapakah yang terlebih dahulu perlu dibantu?
Alasan lain untuk tidak berdakwah ialah tidak cukup ilmu dan takut. Lazimnya, kita berasa takut kerana belum mempunyai ilmu yang mencukupi atau teknik berdakwah yang berkesan. Berdasarkan Hadis Sahih Bukhari, “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.” Masalah kita ialah selalu membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih tinggi ilmunya. Masalah sebenar bukanlah kurang ilmu tetapi terlalu rendah diri. Sebenarnya, jika kita tahu sedikit dan sampaikan yang sedikit itu kepada orang lain maka kita beruntung kerana hidayah milik Allah dan tanggungjawab kita telah selesai. Tetapi bagi yang tinggi ilmunya, dia juga perlu menyampaikan segala ilmu yang dia ada, dan ini bukanlah satu kerja mudah.
Jika kita keluar menyampaikan ilmu, secara tidak langsung kita juga sedang menambah ilmu pengetahuan. Setelah menyampaikan ilmu walaupun sedikit dan apabila ada orang bertanya soalan yang anda tidak tahu jawapannya. Katakan, “Saudara, saya amat gembira mengenali kamu. Soalan kamu amat bagus, disebabkan itu saya tidak pernah terfikir. Saya perlu balik bertanya kepada guru saya untuk memastikan saya memberi jawapan yang lebih tepat kepada kamu. Boleh saya beri jawapan esok?”
Jika kita pulang dan bertanya semula kepada guru, maka ilmu kita juga bertambah! Gunakan taktik yang sama untuk terus berdakwah dan menambah ilmu tetapi gunakanlah ayat yang lain. Sungguhpun begitu jangan sesekali ‘goreng’ dalam menjawab soalan yang anda sendiri tidak tahu jawapannya. Alasan ini sama seperti memberi alasan, tunggu ada modal besar barulah boleh melabur! Ini tidak akan berlaku, orang lazimnya bermula dari bawah dan berkembang menjadi lebih besar. Satu lagi alasan ialah diri sendiri pun banyak buat dosa lagi, macam mana nak berdakwah?
Sebenarnya, dakwahlah yang boleh membantu kita untuk mengurangkan dosa. Hal ini kerana, apabila berkata dan melakukan perkara baik, secara automatik kita akan merasa ralat untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang kita sering perkatakan. Lagi banyak kita berkata perkara yang baik, lagi bertambah sukar untuk kita melakukan sesuatu yang buruk.
Kesimpulan
Justeru, tiada istilah tidak cukup ilmu atau tidak bersedia dalam berdakwah. Ilmu perlu dituntut setiap masa, jika tidak mengetahui sesuatu maka bersegeralah merujuk kepada ahlinya atau lakukan penyelidikan untuk mendapat jawapan yang betul. Seandainya teknik ini sering kali diamalkan, akhirnya ilmu kita akan makin bertambah dan mampu menjawab pelbagai bentuk soalan. Jadi, tidak cukup ilmu bukan lagi alasan untuk tidak melakukan dakwah. Mari sama - sama kita selami kehidupan seorang pendakwah hebat yang bernama Ahmad Deedat, dahulu beliau acap kali ditanya soalan - soalan yang tidak dapat dijawabnya. Oleh yang demikian, beliau mempertingkatkan diri dengan mencari jawapan kepada soalan - soalan yang tidak dapat dijawabnya dengan penuh yakin. Beliau tidak menjadi seorang yang berilmu secara tiba - tiba tetapi secara beransur - ansur berkat dengan usaha yang tidak pernah mengalah dan mudah berputus asa. Jika seseorang yang hebat pun mengambil langkah sebegitu rupa, maka jadikan beliau idola dan ikutilah langkah yang sama.
See other articles
Dakwah Article | 01 August 2025 | Team IDT
Bolehkah Bukan Islam Sentuh Dan Baca Al-Quran?
Dakwah Article | 22 July 2025 | Lim Jooi Soon
Tiada Kelebihan Lahir Dalam Keluarga Islam & Bukan Islam
Dakwah Article | 19 July 2025 | Team IDT
