Our Address

14-2, Jln 3/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur

Office No.

+603 4141 8982

Helpline & Support

+60 18 468 4380

Nabi Isa A.S: Dilahirkan, Mati dan Bangkit Semula?

Soalan:

Penganut Nasrani meyakini Nabi Isa A.S dilahirkan (was born), mati (died) serta hidup semula (was resurrected) setelah mengalami kematian. Ini merupakan sebahagian kepercayaan yang utama dalam agama Nasrani. Tanpa kepercayaan sebegini keimanan mereka dianggap umpama tidak mempunyai erti. Dalam konteks ini mereka merujuk kepada kenyataan Al-Kitab seperti berikut:

a) Nabi Isa A.S dilahirkan: Kitab Matthew 1:18 “Now the birth of Jesus Christ was on this wise: When as his mother Mary was espoused to Joseph, before they came together, she was found with child of the Holy Ghost.” (KJV)

“Kelahiran Yesus Kristus adalah seperti berikut: Pada waktu Maryam, ibunya, bertunangan dengan Yusuf, ternyata ia mengandung dari roh kudus, sebelum mereka hidup sebagai suami isteri” (LAI)

b) Nabi Isa A.S mati disalib, dipetik daripada Kitab Romans 5:8 “But God commendeth his love toward us, in that, while we were yet sinners, Christ died for us.” (KJV) 

“Akan tetapi Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita, oleh kerana Kristus telah mati untuk kita, ketika kita masih berdosa.” (LAI)

c) Nabi Isa A.S hidup semula setelah kematian: Kitab 1 Corinthians 15:14 “And if Christ be not risen, then is our preaching vain, and your faith is also vain” (KJV) 

“Tetapi andaikata Kristus tidak dibangkitkan, maka sia-sialah pemberitaan kami dan sia-sialah juga kepercayaan kamu” (KJV)

Sehubungan dengan kenyataan di atas, golongan misionari cuba membawa kenyataan Nabi Isa a.s dalam al-Quran yang pada sangkaan mereka menyokong keyakinan Nasrani, la merujuk ayat yang bermaksud, 

“Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).” (Surah Maryam 19:33)

Berdasarkan ungkapan (terjemahan) al-Quran: ‘lahir’, mati’ serta ‘bangkit seperti yang dinyatakan di atas kononnya membuktikan bahawa al-Quran menyokong kepercayaan Nasrani.

Jawapan:

Secara realiti, ayat di atas bukan sahaja berbeza dengan kepercayaan Nasrani, malahan al-Quran menafikan kematian Nabi Isa A.S serta kebangkitan semula daripada kematian. Ini sekali gus menafikan kepercayaan Nasrani bahawa Nabi Isa A.S sudah mati serta telah bangkit daripada kematian. Pernyataan ini ternyata menerusi perkataan al-Quran iaitu ‘Amutu‘ (aku akan mati) serta ‘Ub’athu (aku akan dibangkitkan semula).

Menurut tatabahasa Arab, kedua-dua perkataan ini dalam bentuk ‘’Fiil Mudari (kata perbuatan masa akan datang/future tense). Ketika mengutarakan kenyataan tersebut, Nabi Isa A.S masih lagi hidup. Maka secara logik akal, tidak mungkin baginda mengatakan dirinya sudah wafat serta telah dibangkitkan semula.

Berdasarkan ayat di atas juga, Nabi Isa A.S masih hidup sehingga kini. Baginda akan menempuh kematian serta dibangkitkan semula di hari kiamat nanti sebagaimana keyakinan umat Islam. Di mana mengikut keimanan umat Islam, Jesus akan menempuh kematian ketika hari kiamat diperkukuhkan lagi menerusi sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, 

“Para nabi itu bersaudara seayah, sedangkan ibu mereka berbeza-beza dan agama mereka satu. Aku adalah manusia yang paling dekat terhadap Isa bin Maryam, kerana tidak ada nabi lagi antara dia dan aku. Dan dia akan turun (kembali). Jika kalian melihatnya, maka kenalilah oleh kalian bahawa dia adalah laki-laki yang sedang tingginya, berkulit putih kemerah-merahan, dia memakai dua helai baju yang agak kemerahan, seakan di kepalanya menitiskan air walaupun tidak basah. Dia akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapus jizyah serta menyeru manusia kepada Islam. Di zamannya, Allah akan menghancurkan seluruh agama kecuali Islam. Dan Allah akan membunuh Al-Masih Ad-Dajal. Kemudian terciptalah keamanan di muka bumi, hingga singa dengan unta mencari makan (di tempat yang sama) dan (demikian pula) harimau dan sapi, juga serigala dan kambing, serta anak-anak kecil bermain-main dengan ular tanpa membahayakan mereka. Beliau tinggal selama empat puluh tahun, kemudian wafat dan kaum Muslimin mensolatkannya.” 

Kenyataan Nabi Isa A.S masih hidup turut dijelaskan dalam surah an-Nisaa’: 157-158. Menerusinya Allah s.w.t dengan tegas menyatakan individu yang mati dikayu salib bukanlah Nabi Isa A.S tetapi yang diserupakan dengannya.

“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: ‘Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah.’ Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa A.S). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa A.S, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa A.S kepada-Nya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Menurut Dr. Muhammad Khalil Harras dalam kitabnya (Fashlul Maqaal fi Rafi ‘Isa Hayyan wa Nuzulihi wa Qatlihi ad-Dajjal), Allah s.w.t mengangkat Nabi Isa A.S ke langit dalam keadaan hidup dengan roh serta jasadnya. Di mana ayat di atas merupakan dalil membantah golongan yang menyangka baginda dibunuh serta disalib.

Sekiranya yang diangkat rohnya sahaja, maka tidak wujud perbezaan antara Nabi Isa A.S dengan nabi-nabi lainnya. Bahkan bagi kaum mukminin, semua roh mereka diangkat oleh Allah s.w.t sesudah menempuh kematian, Sehubungan ini apa manfaat penyebutan diangkat ke langit, kalau bukan yang diangkat adalah roh dan jasadnya?

Share to Facebook
Share to WhatsApp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top