Di Malaysia, sudah menjadi satu amalan sekiranya seseorang memeluk Islam namanya akan ditukar dan 'di bin' atau 'binti' Abdullah. Bagaimanapun, amalan ini sebenarnya hanya diamalkan di Malaysia sahaja malah ia telah menjadi budaya di negara ini. Sebelum ini ia tidak pernah diamalkan pada zaman Rasulullah s.a.w mahupun di merata dunia.
Di sini, terdapat dua pendapat mengenai pertukaran nama kepada 'bin Abdullah' atau 'binti Abdullah' apabila seseorang memeluk agama Islam. Pertama, mengikut al-Quran dan Sunnah. Kedua, berdasarkan budaya di Malaysia. Agama Islam boleh menerima apa jua amalan dan budaya mana-mana bangsa selagi ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
Terdapat nas al-Quran dan sunnah yang memberitahu kita bahawa menukar nama bapa itu tidak dibenarkan. Di dalam surah al-Ahzab: 5, Allah Ta'ala berfirman: "Panggillah anak-anak angkat itu dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil di sisi Allah.."
Manakala di dalam hadis, disebutkan: "Sesiapa yang secara sengaja memanggil bapanya dengan nama yang lain akan terkeluar dari syurga." (Bukhari 8: 578, Muslim 1: 120, Daud 3: 5094)
"Sesiapa yang secara sengaja membiarkan dirinya dipanggil sebagai anak kepada yang bukan bapanya adalah melakukan kufur." (Bukhari 4: 467, Muslim 1: 118, daud 3:5095)
Rasulullah tidak menukar nama bapa sahabat yang masuk Islam walaupun ia berunsur syirik. Contohnya Abdullah bin Abdul Asad (Ibnu al-Jawzi, Sifatus Safwah, jilid 1 ms. 63). Nama bapanya tidak diubah walaupun mempunyai erti tidak baik iaitu 'Hamba Singa' (Abdul Asad), dan secara jelas mengandungi unsur-unsur syirik. Contoh-contoh lain adalah seperti Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, dan ramai lagi. Kesemuanya mengekalkan nama bapa masing-masing walaupun mereka (bapa) tidak memeluk Islam.
Memandangkan tiada nas untuk menukar nama bapa kandung kepada Abdullah (atau apa-apa nama jua pun), dalam kes ini saya setuju 100% dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan pertukaran nama bapa kandung. Sebagai seorang Muslim apabila kita ditunjukkan sesuatu nas atau bukti, kita hendaklah mematuhi arahan tersebut seperti mana dalam surah al-Zumar: 17-18: "...yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya.."
Bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mengherankan sekiranya terdapat pihak-pihak yang masih memilih untuk mengekalkan pendapat dan tradisi walaupun telah dikemukakan dengan bukti yang menunjukkan pendapat dan tradisi tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.
Golongan ini ada dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Zukhruf: 22-24: "Bahkan mereka berkata; 'Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja dan demikianlah halnya ( orang-orang yang taqlid buta) Kami tidak mengutus sebelum nya (wahai Muhammad) kepada sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata, 'Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja/' Rasul itu berkata, ' Apakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih hidayah petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya.?".
Mengekalkan nama asal sebagai nama Islam
Apakah sebenarnya nama Islam? Adakah ia nama di dalam bahasa arab, bahasa Melayu atau nama yang mempunyai makna yang baik? Ramai orang berpendapat nama Islam adalah nama dalam bahasa Arab walaupun pada hakikatnya nama Islam adalah sesuatu nama yang mempunyai makna yang baik. Pada zaman nabi Muhammad s.a.w, di negara Arab beribu-ribu orang Arab memeluk agama Islam, tetapi Baginda telah menasihati segelintir orang Arab supaya menukar nama mereka. Kalau nama Arab adalah nama Islam, kenapa Baginda menasihati mereka tukar nama? Dalam erti kata lain, nama Arab tidak semestinya nama Islam. Nama Islam adalah nama yang mempunyai makna yang baik, ia boleh dalam apa jua bahasa.
Sekiranya setiap orang Islam wajib mempunyai nama dalam bahasa Arab, saya rasa orang yang perlu menukar nama mereka adalah orang Melayu. Jika kita periksa senarai nama-nama orang Melayu Islam yang berdaftar di Jabatan Pendaftaran Negara, kita akan dapati orang Melayu tidak mempunyai nama dalam bahasa Arab. Kalau wajib mempunyai nama dalam bahasa Arab keatas semua orang Islam, maka orang Melayu hendaklah menunjukkan contoh yang baik dan hendaklah menukar nama mereka dalam bahasa Arab.
Tambahan lagi, sekiranya wajib untuk menukar nama apabila seseorang memeluk agama Islam, sudah pasti Rasulullah telah mengamalkannya. Bagaimanapun
Hikmah di sebalik larangan menukar nama bapa
- Untuk mengelak daripada berlakunya perkahwinan di antara ahli keluarga yang diharamkan berkahwin akibat tidak tahu tentang asal-usul kekeluargaan.
- Nasab adalah sangat penting dalam Islam; iaitu Allah telah mencipta seseorang lelaki itu sebagai punca pertalian nasab keturunan.
Surah al-Furqan: 54. "Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya titisan bakan dan pertalian keluarga."
- Untuk menunjukkan bahawa orang yang masuk Islam itu masih mengekalkan perhubungan bapa-anak seperti biasa. Islam tidak sekali-kali memutuskan pertalian di antara kaum keluarga. Malah sebaliknya, begitu mengambil berat perhubungan kekeluargaan.