Definisi Dakwah dan Islah
Dakwah dari segi bahasa bermaksud seruan, ajakan, atau jemputan. Manakala dakwah dari segi istilah pula bermaksud mengajak, menyeru, dan menjemput orang bukan Islam kepada agama Islam. Adapun islah pula bermaksud memperbaiki atau memperelokkan sesuatu yang sudah ada.
Apabila kita sebut perkataan jemput atau seru, semestinya kita menjemput orang yang berada di luar untuk masuk ke dalam. Kita tidak menjemput orang yang sudah ada di dalam. Oleh itu, ungkapan dakwah ini lebih sesuai digunakan untuk menjemput orang bukan Islam masuk ke dalam agama Islam. Manakala islah pula lebih sesuai untuk orang Islam kerana kita hendak memperbaiki dan memperelokkan orang yang telah berada di dalam agama.
Timbul persoalan, salahkah kalau kita menggunakan istilah dakwah untuk bukan Islam dan Islam sekali? Seperti dakwah kepada bukan Islam dan dakwah kepada Muslim, atau dakwah luaran dan dakwah dalaman. Tidak salah sebenarnya, tetapi tujuan saya membezakan antara dakwah dan islah ini adalah untuk kita menilai. Kalau dari skala satu hingga lima, berapa banyak kita buat dakwah dan berapa banyak kita buat islah?
Ada setengah orang berkata, ramai lagi umat Islam yang jauh dari agama, kenapa kita sibuk hendak buat dakwah kepada bukan Islam? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita lihat zaman Nabi Muhammad SAW. Apakah Baginda membuat islah sahaja, atau dakwah kepada bukan Islam sahaja, atau Baginda melakukan kedua-duanya sekali? Jawapannya, Baginda melakukan kedua-duanya secara serentak.
(Rujukan: Ibn Hisham, Sirah Nabawiyyah; al-Mubarakfuri, Ar-Raheeq al-Makhtum)
Kewajipan Dakwah dalam al-Quran
Adakah dakwah wajib? Adakah ia hanya untuk pendakwah sahaja? Atau untuk ulama, ustaz, atau mufti sahaja? Adakah disebut dalam al-Quran? Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 140:
أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطَ كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ قُلْ أَأَنتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَادَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Apakah kamu mengatakan bahawa Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan para cucunya adalah Yahudi atau Nasrani? Katakanlah: Adakah kamu lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan persaksian yang ada padanya daripada Allah? Dan Allah tidak sekali-kali lalai terhadap apa yang kamu lakukan.”
(Rujukan: al-Tabari; Tafsir NU Online)
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 159:
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَىٰ…
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk selepas Kami menjelaskannya kepada manusia dalam Kitab, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.”
(Rujukan: al-Suyuti, Asbab al-Nuzul; Ibn Kathir)
Rasulullah SAW bersabda:
“بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً”
“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 3461)
Hadis ini menunjukkan bahawa dakwah bukan hanya tanggungjawab ulama, tetapi setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing.
Pengertian Hikmah
Hikmah membawa maksud kebijaksanaan daripada Allah dan kecerdikan dalam memilih cara dan masa yang sesuai. Ia juga bermaksud tujuan sebenar di sebalik sesuatu perkara. Orang yang berhikmah ialah orang yang bijaksana. Dakwah hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah melalui akhlak yang baik, nasihat yang lembut, serta dialog yang beradab.
(Rujukan: al-Qurthubi; al-Jalalayn)
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nahl ayat 125:
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ وَجَٰدِلْهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk.”
(Rujukan: al-Qurtubi; Ibn Kathir; al-Jalalayn)
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرِّفْقَ لَا يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ
“Sesungguhnya kelembutan tidak ada pada sesuatu melainkan ia menghiasinya.”
(Riwayat Muslim, no. 2594)
Kisah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS merupakan antara contoh paling jelas dalam al-Quran tentang pendekatan dakwah dengan kelembutan, walaupun kepada seorang pemerintah yang paling zalim dalam sejarah, iaitu Firaun.
Allah SWT memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk pergi berdakwah kepada Firaun dengan cara yang penuh hikmah dan tidak keras. Allah SWT berfirman dalam Surah Taha ayat 44:
فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
Maksudnya: “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.”
(Rujukan: Ibn Kathir)
Kisah ini mengajar bahawa dakwah Islam bukan sekadar menyampaikan kebenaran, tetapi bagaimana kebenaran itu disampaikan. Kelembutan dalam dakwah bukan tanda kelemahan, tetapi tanda kebijaksanaan dan keteladanan seorang pendakwah.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ يُحْرَمِ الرِّفْقَ يُحْرَمِ الْخَيْرَ
“Sesiapa yang tidak diberikan kelembutan, maka dia terhalang daripada kebaikan.”
(Riwayat Muslim, no. 2592)
Pengertian Kalimah Sawa’
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 64:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ…
Maksudnya: “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah…”
(Rujukan: Ibn Kathir; al-Tabari)
Rasulullah SAW bersabda kepada Mu‘az bin Jabal:
إِنَّكَ تَأْتِي قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ…
“Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum Ahli Kitab, maka jadikan perkara pertama yang engkau dakwahkan kepada mereka ialah tauhid…”
(Riwayat al-Bukhari, no. 7372; Muslim, no. 19)
Kesimpulan
إِنَّكَ تَأْتِي قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ…
Kesimpulannya, dakwah adalah tanggungjawab setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing. Dakwah bil hikmah menuntut kita menampilkan akhlak yang baik, menggunakan kelembutan, serta pendekatan berperingkat. Kita perlu mendahulukan tauhid sebelum cabang syariat, sebagaimana yang ditunjukkan dalam al-Quran dan sunnah.
Rasulullah SAW bersabda:
لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
“Jika Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki melalui kamu, itu lebih baik daripada unta merah.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 2942; Muslim, no. 2406)

