Sebelum memeluk Islam, Sister Yan hidup seperti biasa sahaja. Hidup beliau simple, bebas, dan mengikut rutin harian seperti orang lain. Tidak ada perkara besar yang beliau fikirkan tentang hidup ketika itu. Namun lama-kelamaan, beliau mula merasakan sesuatu yang berbeza. Bukan sedih, tetapi satu rasa kosong yang sukar untuk diungkapkan.
Beliau mula tertanya-tanya,
“Kenapa kita hidup sebenarnya?”
“Hidup ini sekadar ulang perkara yang sama ke?”
Soalan-soalan itu semakin kuat dalam hati beliau.
Dalam masa yang sama, beliau mempunyai seorang rakan Cina Muslim. Mereka tidak selalu berjumpa, tetapi sesekali rakannya akan berkongsi tentang tentang Tuhan yang satu iaitu Allah. Cara penyampaian rakannya sangat sederhana dan tidak memaksa. Apa yang dikongsikan terasa masuk akal bagi beliau. Dalam hati, beliau memang sudah mula percaya bahawa Tuhan itu satu. Namun ketika itu, beliau belum terfikir untuk menjadi seorang Muslim.
Sehinggalah suatu hari, dalam perbualan biasa, beliau bertanya satu soalan yang tidak dirancang.
“Macam mana nak jadi seorang Muslim?”
Dari situ, rakannya mengajarkan beliau lafaz syahadah. Dan beliau mengikutinya. Pada saat itulah bermulanya perjalanan baru dalam hidup beliau.
Perlahan-lahan Hidup Beliau Berubah
Selepas memeluk Islam, kehidupan beliau tidak berubah secara mendadak. Namun sedikit demi sedikit, beliau mula merasakan perubahan dalam diri. Hidup beliau menjadi lebih tersusun. Hati beliau juga menjadi lebih tenang. Solat lima waktu mula menjadi sebahagian daripada rutin harian beliau.
“Ada satu ketenangan yang saya sendiri susah nak explain,” kata beliau.
Namun, perjalanan ini tidak mudah. Salah satu cabaran terbesar bagi beliau adalah perubahan dalam cara berpakaian, lebih-lebih lagi dalam cuaca Malaysia yang panas. Peralihan daripada pakaian lama kepada pakaian yang lebih menutup aurat memerlukan masa. Dan kerana tidak ramai di sekelilingnya yang mengetahui bahawa beliau sudah memeluk Islam, beliau melalui perubahan ini secara perlahan dan dalam diam.
Kadangkala di tempat kerja, beliau ditanya,
“Kenapa selalu tutup leher?”
Beliau hanya tersenyum dan menjawab,
“Sebab sejuk, saya suka high neck.”
Jawapan yang ringkas, tetapi sebenarnya membawa makna perubahan yang besar dalam hidup beliau.
Di rumah juga, beliau menjadi lebih berhati-hati, belajar menjaga batas dan menyesuaikan diri dengan cara hidup yang baru. Tidak semuanya mudah, tetapi beliau tetap berusaha sedikit demi sedikit. Ada juga ketika beliau merindui kehidupan lamanya, perkara-perkara kecil yang dahulu dilakukan tanpa berfikir panjang. Namun beliau tetap jelas dengan satu perkara;
“Ini pilihan saya dan saya terima,” kata beliau.
Kini, kehidupan beliau terus berjalan dengan tenang, walaupun perlahan. Islam telah memberikan beliau arah hidup, ketenangan, dan rasa kembali kepada sesuatu yang lebih bermakna.
Dalam setiap langkah, beliau memegang satu keyakinan.
“Allah itu cukup untuk beliau.”
Jadi, apa yang kita boleh ambil daripada kisah ini?
Kadang-kadang, perubahan besar dalam hidup bermula dengan satu soalan yang kecil. Keinginan untuk mencari kebenaran tidak semestinya datang secara dramatik, kadang-kadang ia datang secara perlahan melalui perkara yang biasa sahaja. Kita juga belajar bahawa hidayah boleh datang melalui perkara yang sangat sederhana, seperti perbualan biasa dengan seorang rakan. Dan perjalanan selepas itu bukanlah terus mudah. Ia mengambil masa, ada cabaran, dan memerlukan penyesuaian. Namun setiap langkah yang diambil dengan ikhlas tetap membawa seseorang lebih dekat kepada Allah. Akhirnya, yang paling penting bukanlah seberapa cepat kita berubah, tetapi kesungguhan untuk terus berjalan walaupun sedikit demi sedikit.
Akhirnya, kita sedar bahawa dalam dakwah dan hidayah, yang paling penting bukanlah seberapa cepat perubahan itu berlaku, tetapi adakah hati itu masih terus dibuka untuk menerima kebenaran.
Soalan yang patut kita renungkan ialah… adakah kita juga sedang menjadi sebab hidayah itu sampai kepada seseorang hari ini?
