Our Address

14-2, Jln 3/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur

Office No.

+603 4141 8982

Helpline & Support

+60 18 468 4380

Beberapa Aspek/Elemen Murtad dalam Islam

Keluar dari Islam atau murtad (apostate) boleh dianggap seolah-olah virus paling bahaya kepada umat Islam. Ia mengatasi  virus HIV, Ebola mahupun Covid 19. Mengapa begitu? secara analogi kalau seseorang itu berkata:

“Saya akan mengidap “Covid 19, Ebola atau HIV”  20 tahun yang akan datang. Sudah tentu ia hanya satu kebarangkalian sahaja. Namun sekiranya dia berkata: saya akan murtad 20 tahun yang akan datang, di sisi akidah ahli Sunnah wa al-Jamaah dia telah sepenuhnya murtad ketika mengatakan perkara itu. Tidak perlu menunggu tempoh yang dimaksudkan terlebih dahulu”. 

Imam al-Nawawi, tokoh serta mujtahid mazhab Syafie mengulas dalam kitabnya Raudhah al-Tolibin:

وَالْعَزْمُ عَلَى الْكُفْرِ فِي الْمُسْتَقْبَلِ كُفْرٌ فِي الْحَالِ، وَكَذَا التَّعْلِيقُ بِأَمْرٍ مُسْتَقْبَلٍ، كَقَوْلِهِ: إِنْ هَلَكَ مَالِي أَوْ وَلَدِي تَهَوَّدْتُ، أَوْ تَنَصَّرْتُ

“Begitu juga berazam untuk menjadi kafir pada masa hadapan juga menyebabkan dia menjadi kafir serta merta. Demikian juga perbuatan taklik keluar Islam dengan perkara yang akan berlaku seperti seseorang berkata “jika hartaku hilang atau anak aku mati, aku jadi Yahudi atau aku jadi Kristian”

[ Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Beirut: al-Maktab al-Islami. Jld. 10, hlm. 64-65]

Dari perspektif Islam, sebelum seseorang Islam itu diisytiharkan sebagai murtad oleh pihak berautoriti. tiga syarat semestinya dipenuhi:

  1. Seseorang itu perlu mengetahui bahawa kenyataan atau perbuatan yang ia lakukan secara jelas dan pasti menyalahi Islam.
  2. Dilakukan secara sengaja (deliberate intention). Ia bukan secara tidak sengaja atau tersilap.
  3. Pilihan bebas (free choice). Ia bukan kerana paksaan.

Merujuk menyalahi ajaran Islam boleh membawa kepada murtad yang dimaksudkan ialah apa yang diistilahkan ilmuwan  sebagai:

المعلوم من الدين بالضرورة

Hukum Islam yang disepakati dan pasti diketahui umum:

 Contoh:

  • mengaku diri Tuhan 
  • menolak kewajipan solat 5 waktu
  • menolak pengharaman arak dan judi
  • mengatakan al-Qur’an bukan kalam Allah dan lain-lain. 

Namun bagi seseorang yang menolak sesuatu hukum yang tidak disepakati, atau sesuatu hukum yang disepakati tetapi tidak diketahui oleh ramai orang penolakan tersebut tidaklah menyebabkan kemurtadan. Contohnya:

  • Orang yang menolak syariat menganjurkan solat sunat dhuha
  • menolak hukum haram mengahwini perempuan yang diceraikan sebelum tamat ‘iddah 

[Rujukan Muftiwp.gov IRSYAD HUKUM KE-26: PUNCA MURTAD, 27 Februari 2015]

Merujuk perkara yang dilakukan secara sengaja bukan tersilap. Firman Allah  Subhanahu Wa Ta’ala:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Ahzab 33:5)

Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya. (Riwayat Ibn Majah: 2043)

Merujuk di atas kerelaan sendiri (free choice). Ia bukan secara paksaan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُۥ مُطْمَئِنٌّۢ بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلْكُفْرِ صَدْرًۭا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar (Surah an-Nahl: 106)

Ungkapan al-Qur’an di atas berkait kisah yang terjadi kepada sahabat nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam bernama ‘Ammar bin Yasir radiyallahu ‘anhu. Beliau disiksa oleh golongan kafir Quraisy. Mereka turut memaksanya untuk kufur terhadap Rasulullah sallahu ‘alayhi wa sallam. Ammar kemudian mengadu kepada baginda. Beliau lantas bersabda:

كَيْفَ تَجِدُ قَلْبَكَ؟ قَالَ: مُطْمَئِنٌّ بِالإِيْمَانِ قَالَ: إِنْ عَادُوا فَعُدْ

Lalu bagaimana dengan hatimu sendiri?.Ammar menjawab: masih mantap dalam keimanan. Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: kalau mereka memaksa (menyiksa) lagi, silakan engkau mengulangi lagi seperti tadi. (Riwayat al-Hakim: 3362, al-Baihaqi: 17350

Faktor penghalang kepada hukuman Murtad

Dalam sistem perundangan Islam, hukuman murtad tidak boleh dilaksanakan secara semberono (carelessly). Berikut merupakan beberapa faktor penghalang yang menyebabkan seseorang itu tidak dijatuhi hukuman ‘Kafir” atau “Kufur” kerana murtad. 

  • Belum mukallaf. Kanak-kanak yang belum baligh (sampai umur) tidak dihukum.

Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

رُفِع القلمُ عن ثلاثةٍ: عن النّائمِ حتّى يستيقظَ وعن الغلامِ حتّى يحتلِمَ وعن المجنونِ حتّى يُفيقَ

Telah diangkat pena dari tiga golongan: dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia sedar. [Hadith riwayat Abu Daud (4403) dan Ibn Hibban (142)]

  • Gila. Orang yang hilang akal tidak dipertanggungjawab di atas perbuatannya.

Hadith rujukan sebagaimana di atas

  • Tanpa niat atau tanpa kesedaran

Rujukan ialah hadith riwayat Imam Muslim. Ia menceritakan seorang yang merasa sedih di atas kehilangan unta dan perbekalan dalam suatu perjalanan. Secara tiba-tiba muncul unta yang hilang itu. Oleh kerana ia terlalu gembira ia lantas berkata:

Ya Allah engkau hambaku dan aku Tuhanmu! Dia tersasul kerana terlampau gembiranya. (Riwayat Muslim)

  • Kejahilan

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًۭا

Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). [Surah Isra’ ayat 15]

Ibn Taymiyyah berkata:

وإذا عرف هذا فتكفير المعين من هولاء الجهال وامثالهم بحيث يحكم عليه بانه من الكفار . لا يجوز الاقدام عليه الا بعد ان تقوم على احدهم الحجة

“Tidak boleh menjatuhkan hukuman kafir secara khusus ke atas orang-orang jahil dan seumpamanya. Ini dalam erti kata menghukum mereka sebagai kafir melainkan setelah ditegakkan hujjah.  (Majmu’ alFatawa 12/500]”

  • Disebabkan salah faham

Seseorang yang baru memeluk Islam atau kurang ilmu mungkin mempunyai salah faham tentang asas akidah. Perkara ini perlu diselesaikan melalui pendidikan serta kefahaman, bukan hukuman.

والله أعلم

Share to Facebook
Share to WhatsApp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top