Kadang-kadang, jalan ke arah kebenaran bermula dengan perkara kecil yang kita sendiri tak rancang. Inilah kisah seorang mualaf yang dikenali sebagai Brother J (bukan nama sebenar), yang melalui fasa kekeliruan, kejatuhan, dan akhirnya kembali menemui sinar Islam dengan penuh kesedaran.
Brother J merupakan seorang lelaki berbangsa India yang bekerja di sebuah kedai makan. Pada suatu ketika, beliau merasakan dirinya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Apabila beliau memaklumkan kepada majikannya bahawa beliau berniat untuk berkahwin, majikannya telah mencadangkan agar beliau berkahwin dengan seorang wanita melayu. Namun begitu, majikannya menegaskan bahawa jika ingin berkahwin dengan wanita melayu, beliau mesti memeluk agama Islam terlebih dahulu.
Tanpa berfikir panjang dan didorong oleh keinginan untuk berkahwin, beliau bersetuju untuk memeluk Islam, walaupun pada ketika itu beliau belum mempunyai calon pasangan hidup. Keputusan tersebut diambil tanpa kefahaman yang jelas tentang tuntutan dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Selepas memeluk Islam, Brother J dimaklumkan bahawa beliau perlu melaksanakan tuntutan agama sebagai seorang muslim seperti menunaikan solat, berpuasa dan melakukan amalan-amalan yang dituntut dalam Islam. Namun, cabaran sebenar bermula apabila beliau tidak tahu di mana dan bagaimana untuk belajar hal tersebut. Dalam usaha mencari bimbingan, beliau pergi ke masjid dan bertanya kepada jemaah di sana tentang cara untuk menunaikan solat. Namun, beliau hanya diminta untuk melihat dan meniru pergerakan orang lain tanpa penerangan yang jelas.
Keadaan ini menyebabkan beliau berasa terasing dan tertekan. Walaupun berusaha untuk belajar, ketiadaan bimbingan yang jelas membuatkan beliau merasa hilang arah. Beliau mula membandingkan keadaannya dengan kehidupan lamanya sebagai penganut Kristian, di mana setiap amalan mempunyai panduan yang jelas. Sebaliknya, dalam Islam, beliau merasakan dirinya seolah-olah tidak mempunyai arah tuju.
Setelah hampir setahun melalui keadaan tersebut, Brother J akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asal. Namun, proses untuk keluar daripada Islam tidak semudah yang disangka. Beliau perlu melalui sesi perundingan yang panjang bersama pihak berkuasa agama.
Dalam salah satu sesi tersebut, beliau bertemu dengan seorang pendakwah iaitu Brother Lim Joi Soon. Dengan penuh kejujuran, beliau menyatakan bahawa sekiranya beliau dapat diyakinkan tentang kebenaran Islam, beliau bersedia untuk terus kekal sebagai seorang Muslim. Pertemuan itu menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
Dengan izin Allah SWT, melalui pendekatan yang penuh hikmah, Brother Lim Joi Soon berjaya menjelaskan Islam dengan cara yang dapat difahami dan menyentuh hati beliau. Brother J akhirnya kembali kepada Islam dengan keyakinan yang lebih kukuh, bukan lagi kerana desakan atau tujuan tertentu, tetapi atas kesedaran dan kefahaman yang sebenar.
Kini, Brother J dikenali sebagai seorang pendakwah yang aktif dan turut membantu golongan mualaf lain agar tidak melalui kesukaran yang pernah dialaminya. Kisah beliau menjadi peringatan kepada kita semua tentang pentingnya bimbingan, sokongan, dan pendekatan yang berhikmah dalam usaha dakwah.
