Alhamdulillah, Interactive Dakwah & Tarbiyah (IDT), dengan sokongan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), telah berjaya menganjurkan Klinik Solat 2026 pada 24 dan 25 Oktober 2026 bertempat di Dawah Academy International Hall, Wangsa Maju. Program selama dua hari ini dikendalikan oleh Dr Wan Ji Wan Hussin, Pendakwah Bebas, dengan memberi tumpuan kepada pemahaman asas solat, hukum-hakam serta panduan praktikal dalam pelaksanaannya.
Hari pertama dimulakan dengan pengisian berkaitan Wuduk dan Taharah, merangkumi rukun wuduk, cara berwuduk yang betul serta perkara yang membatalkan wuduk. Seterusnya, peserta didedahkan kepada syarat sah, rukun solat dan perkara yang membatalkan solat. Pengisian diteruskan dengan penerangan tentang bacaan dan pergerakan solat yang betul, sebelum peserta mengikuti sesi praktikal bagi memperbaiki bacaan dan pergerakan dalam solat.
Pada hari kedua, perbincangan tertumpu kepada pelbagai situasi yang berkaitan dengan pelaksanaan solat. Peserta didedahkan kepada kesalahan lazim dalam solat dan cara mengatasinya. Selain itu, pengisian turut merangkumi solat ketika musafir, termasuk hukum Jamak dan Qasar serta syarat pelaksanaannya. Peserta juga mempelajari panduan solat bagi mereka yang sakit atau mempunyai keuzuran, termasuk cara solat secara duduk, berbaring dan mengikut kemampuan masing-masing.
Program diteruskan dengan pengisian berkaitan situasi khusus dalam solat seperti Masbuk dan Sujud Sahwi, diikuti sesi penilaian praktikal bagi mengukuhkan kefahaman peserta terhadap perkara yang telah dipelajari sepanjang program.
Klinik Solat 2026 menjadi ruang untuk peserta menyemak semula kefahaman tentang asas solat serta memperbaiki amalan ibadah harian. Melalui penerangan dan latihan praktikal, peserta berpeluang memahami bukan sahaja cara menunaikan solat dengan betul, tetapi juga hukum-hakam yang berkaitan dalam pelbagai keadaan.
IDT berharap agar ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian dan membantu peserta menunaikan solat dengan lebih yakin, teliti dan sempurna. Semoga usaha ini menjadi asbab untuk kita terus memperbaiki solat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.