WANGSA MAJU, 13 September 2026 – Interactive Dakwah & Tarbiyah (IDT) menerima kunjungan sambil belajar daripada Sekolah Izzuddin Shah (SIS), Ipoh, Perak, yang melibatkan seramai 35 orang murid dan tujuh orang guru pengiring. Lawatan yang berlangsung dari pukul 9:00 pagi hingga 2:00 petang ini bertujuan mendedahkan para peserta kepada usaha dakwah, latihan, dan pendidikan yang digerakkan oleh IDT.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden IDT, Ustaz Mohd Sahifuddin bin Abdullah. Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak SIS atas pemilihan IDT sebagai salah satu destinasi lawatan, di samping berkongsi latar belakang penubuhan IDT serta peranannya sebagai pusat dakwah di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pengisian diteruskan dengan sesi perkongsian selama dua jam oleh Brother Lim Jooi Soon, pengasas merangkap Jurulatih Utama IDT. Beliau membincangkan topik tauhid dan fitrah insan, merangkumi konsep Pencipta dan makhluk serta penghayatan nilai Islam. Sesi tersebut berlangsung secara interaktif dengan penyertaan aktif para murid melalui soal jawab dan perbincangan.
Pada sebelah tengah hari, program diserikan dengan kehadiran Sahibus Samahah Tuan Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, selaku tetamu kehormat. Dalam amanatnya, beliau menekankan bahawa kecemerlangan generasi muda tidak seharusnya terhad kepada bidang akademik semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan pembinaan akhlak dan kefahaman agama yang kukuh. Beliau turut berpesan agar para murid terus bersemangat menuntut ilmu dan bersiap siaga memikul tanggungjawab membina ummah pada masa hadapan.
Sebelum majlis bersurai, acara diteruskan dengan pertukaran cenderamata antara pihak SIS, IDT, dan Mufti Wilayah Persekutuan, disusuli sesi fotografi serta jamuan makan tengah hari. Murid-murid kemudiannya menyertai aktiviti kuiz santai kendalian Sister Hajar dan Brother Adam bagi menguji kefahaman mereka terhadap pengisian sepanjang hari, dengan hadiah berupa buku bacaan ilmiah diberikan kepada para pemenang.
Pihak IDT menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Sekolah Izzuddin Shah atas kesudian mengadakan lawatan ini, dan mendoakan agar hubungan baik yang terjalin membuka ruang kepada pelbagai kerjasama yang bermanfaat pada masa akan datang.